Zakat Pelaburan Unit Amanah

source: http://www.lamanunitamanah.com/

Sebagai seorang pelabur Muslim, adalah menjadi suatu kewajipan kepada kita untuk membayar zakat pelaburan sekiranya pelaburan tersebut memenuhi syarat-syarat yang telah digariskan oleh Islam. Sebelum itu, mari kita lihat istilah-istilah yang bakal ditemukan di dalam artikel ini, iaitu:

  • Nisab = Nilai semasa bagi 85 gram emas. Kadar nisab semasa boleh dirujuk di mana-mana pejabat pungutan zakat.
  • Haul = Tempoh yang melayakkan sesuatu harta itu dizakatkan. Untuk zakat simpanan dan zakat pelaburan saham, haul yang dimaksudkan adalah satu tahun kalendar hijriah, iaitu dari 1 Muharram hingga 30 Zulhijjah (354 hari).

1. Zakat Caruman Berkanun

Caruman berkanun seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Kumpulan Wang Simpanan Guru (KWSG) dan lain-lain caruman berkanun ialah wang caruman milik individu yang dicarum sepanjang tempoh perkhidmatan.

Syarat wajib zakatnya adalah sama dengan syarat wajib zakat pendapatan atau wang simpanan. Syarat ‘Sempurna Milik’ akan dipenuhi sebaik sahaja wang tersebut dikeluarkan. Oleh itu zakat diwajibkan setelah caruman tersebut dikeluarkan.

Kaedah Pengiraan Zakat Caruman Berkanun
1. Kaedah Pertama
Zakat wajib dikeluarkan pada hari wang caruman diterima. Kadarnya adalah 2.5%.

Contoh:
Wang Caruman yang dikeluarkan daripada KWSP & LTAT = RM40,000.00
Zakat yang dikenakan = RM40,000.00 x 2.5% = RM1,000.00

2. Kaedah Kedua
Zakat wajib dikeluarkan apabila cukup haulnya iaitu setahun setelah penerimaannya berdasarkan Mazhab Syafie.
(Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke-5 yang bersidang pada 16-17 November 1982).

Contoh:
Jumlah Wang Caruman di KWSP & LTAT = RM10,000.00
Jumlah Zakat yang dikenakan = RM10,000.00 x 2.5% = RM250.00

Ringkasannya, caruman berkanun seperti KWSP, LTAT dan KWSG merupakan satu skim simpanan sebahagian dari hasil gaji pekerja dan kemudian dicampur dengan sumbangan majikan. Wang caruman ini tidak boleh dikeluarkan sesuka hati kerana tujuan wang caruman adalah untuk pelaburan dan dimanfaatkan selepas persaraan. Zakatnya diwajibkan apabila dikeluarkan dan cukup nisab serta haulnya.

2. Zakat Saham

Saham adalah wang modal yang dilaburkan dalam perniagaan sesebuah syarikat dan seumpamanya. Perniagaan saham dilaksanakan berpandukan harga saham dalam pasaran semasa bukan atas nilai saham asal semasa belian. Oleh itu, zakat dikenakan pada kadar nilai saham tersebut.

Jenis-jenis saham
Saham terbahagi kepada dua iaitu :
1. Saham berbentuk simpanan, seperti Saham Amanah Saham Bumiputera (ASB), Saham Amanah Saham Nasional (ASN), Dana Unit Amanah, Sijil Simpanan Premium dan lain-lain.
2. Saham berbentuk Jual beli / Perdagangan seperti saham Tenaga Nasional Berhad (TNB), Saham Petronas, dan lain-lain saham yang didagangkan di Bursa Malaysia.

Saham-saham yang tidak disenaraikan di Bursa Malaysia
Saham jenis ini tidak mudah dijadikan tunai. Secara praktiknya, zakat hendaklah dikeluarkan atas jumlah dividen yang diterima.

Saham-saham yang disenaraikan di Bursa Malaysia
Pemilik saham boleh mengasingkan pengiraan zakat atas saham kepada dua kumpulan iaitu saham yang masih dimiliki di hujung haul dan saham yang dijual beli sepanjang haul. Bagi saham-saham yang masih dimiliki selepas cukup haul, maka pengiraan zakat ialah 2.5%. Sekiranya nilai saham lebih rendah daripada kos belian maka gunakan nilai pasaran.

Kaedah Pengiraan Zakat Saham
i. Pemilik Saham boleh mengasingkan pengiraan zakat atas saham kepada dua kumpulan iaitu saham yang masih dimiliki di hujung haul dan saham-saham yang dijualbeli sepanjang haul.
ii. Bagi saham-saham yang masih dimiliki selepas cukup haul, maka pengiraan zakat ialah 2.5% atas harga terendah antara harga pasaran dan harga belian.

Contoh:-
Harga Belian = RM1.00 (seunit), Harga Pasaran = RM2.00 (seunit)
Jumlah saham yang dimiliki = 200 lot [1 lot = 1000 unit]
Jumlah unit yang dimiliki = 200,000
Jumlah yang dikenakan zakat = RM1.00 x 200,000 = RM200,000 x 2.5%
Zakat yang dikenakan = RM5,000

Bagi saham yang dijual beli sepanjang haul maka zakatnya dikira 2.5% atas nilai jualan saham-saham tersebut setelah ditolak kos pembelian dan melebihi nisab.

Contoh:
Jumlah nilai jualan saham – kos belian
RM 500,000 – RM 400,000 = RM100,000
Zakat yang dikenakan = RM100,000 x 2.5% = RM 2,500

Ringkasnya, zakat saham yang masih dalam simpanan dikira antara nilai kos belian atau pasaran (mana yang lebih rendah) dan zakat atas saham-saham yang dijual beli sepanjang tahun dikira atas keuntungan jual beli saham tersebut.

Sumber:

1. Manual Pengiraan Pengurusan Zakat, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, Jabatan Perdana Menteri
2. Laman Web Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAWIP)
3. Laman Web Pusat Zakat Pahang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Blue Captcha Image
Refresh

*